Wednesday, January 21, 2009

Adakah UMNO boleh dirawat?

Sedang berjalan-jalan terjumpalah seorang kawan lama, bekas penghulu dalam negeri Selangor. Semasa dalam perkhidmatan dulu beliau agak lantang bercakap dan penuh provokasi politik. Ada orang cop dia pro pembangkang, tetapi hakikatnya dia ada jawatan dalam UMNO cawangan dan menjadi penceramah tetap masa kempen pilihanraya. Orang mudah menilai cara luaran; tetapi ragam manusia tidak serupa, bercakap secara provokasi sebenarnya dapat mencuri pendirian seseorang sama ada ke kiri atau ke kanan.

Hujahnya UMNO boleh dirawat dengan ubatan herba dan moden. Kalau dibiar dengan cara sekarang UMNO akan hilang dari kepercayaan orang melayu lenyap dari bumi Malaysia. Bila ditanya bagaimana caranya? Maka beginilah pandangannya walaupun dalam bentuk senda atau lucu:-



a) Pertandingan di semua peringkat (cawangan, bahagian dan MKT) mesti terbuka. Tidak pakai lagi sistem tunjuk-tunjuk atau money power. Orang miskin tetapi ada karisma akan tertinggal kalau guna kaedah sekarang. Cara macam mana? Boleh pakai sistem pendaftaran parti cara online. Kan sekarang ada kemudahan ICT. Kalau mohon jadi ahli UMNO dari kalangan bijak pandai pasti akan dicantas awal-awal takut melawan ketua. Ketua nak pegang jawatan hingga mampus. Kalau yang tinggal diluar bandar dan tidak ada kemudahan ICT kena cari alternatif lain. Pendek kata boleh pakai dua kaedah, manual dan on line. Bagi yang nak tawar diri bertanding pakai undi popular di kalangan ahli dengan menampilkan biodata, dan manifesto parti dan mengundi cara profesional (bukan angkat tangan).



b) Ketokohan pemimpin melalui kepimpinan, bukan pengaruh wang. Sikap pengundi minta wang/sponsor dan lain-lain patut dihapuskan. Kalau tiada yang meminta tentulah tiada yang memberi. Kalau nak beli undi juga, orang macam ni tak boleh jadi pemimpin. Bunuh dia awal-awal lagi. Jadi pemimpin bukan tempat nak buat harta tetapi pikul amanah tuhan dan perjuangan. Berilah laluan kepada orang baru kalau dah lama pegang jawatan ketua bahagian, orang lain ahli parti juga; mereka pun bayar yuran juga. Sebut yuran, mesti dikutip bukan pakai sistem " tak pa lah ketua yang bayar"' itulah yang hancurkan parti kerana ketua dah beli ahli. Bendahari mesti kutip dan kalau memberi seribu alasan kepada ahli enggan terima bayaran dengan alasan buku resit hilang; itu bunga-bunga cuba sabotaj. Boleh bayar online, print resit masa mesyuarat bawa resit sebagai bukti kalau tidak dibenar mengundi atas alasan tak bayar yuran. Tak hairan bendahari bersekongkol dengan ketua nak halang ahli yang boleh mencabar dari menghadiri mesyuarat. Itu budaya lapuk UMNO di semua cawangan, budaya yang orang paling benci.



c) Paling penting latar belakang akedemik. Nak jadi pemimpin wang saja tak cukup kalau rendah akedemiknya. Kalau dah bodoh tak payahlah jadi wakil rakyat. Nak bincang isu mesti dengan fakta dan penuh profesional dan bukan lagi sistem bersuara lantang, gertak sana gertak sini, dewan rakyat atau negeri macam pasar borong. Sayang negara dan parti bukan sayang diri sendiri dengan menabur seribu janji kalau dipilih jadi wakil rakyat. Seni berhujah juga penting nak jadi wakil rakyat, kalau tidak nanti dijual pembangkang. Belajarlah pidato yang berkualiti dan kerja pun berkualiti. Susah nak jadi YB, kena rajin turun padang, pandai menjawab hujah dan masalah rakyat, sentiasa peka dengan masalah pengundi. Yang meninggal, kenduri-kendara (atas jemputan) semua kena hadir. Walaupun tidak boleh amalkan politik wang, dalam keadaan tertentu wang juga ada peranannya. Tak sedap telinga pula bila rakyat cakap YB kedekut, tahi hidung masin atau di Kelantan ada tokoh dikenalai YB ikan busuk. YB ni tak suka cakap lama-lama bimbang kena belanja makan minum lepas bersalam terus 'blah' , alasan mudah tak boleh lama ada ikan dalam kereta, takut busuk. Pengundi panggilah YB ikan busuk. Itu cerita rakyat belum tahu kesahihannya.



d) Pendapat selanjutnya dari kawan lama tadi, DS Najib beliau ramal akan jadi PM paling singkat. Kenapa? Dia jawab Pak Lah yang digelar Mr Clean pun tak lama inikan pula Najib. Di soal balas siapa yang berketrampilan spontan jawab Tengku Razaleigh. Itu jawapan dia atas alasan apa tak jelas, bukan atas alasan kenegerian kerana dia anak Selangor dan Pengerusi Tetap UMNO Cawangan........? Mungkin atas hubungan antara raja dan rakyat selain Tunku Abdul Rahman belum ada yang lain lagi. Pasti ingat raja dan rakyat dipisah tiada. Itulah payung orang Melayu.......................

Sunday, January 18, 2009

Keputusan Pilihan Raya Kecil P36 Kuala Terengganu

Alkisah maka tamatlah sudah pilihan raya kecil P 36 Kuala Terengganu dengan kemenangan berpihak kepada calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut bermajoriti agak besar, 2,631 undi. Apapun ceritanya itulah realiti kehendak pengundi Kuala Terengganu. Semua jentera BN dan jentera sokongan dari berbagai agensi gagal memenangi hati para pengundi. DS Najib berkampung di Terengganu, malah Pak Lah pun turut turun memberi bantuan terakhir sebelum bertolak ke Negara Teluk. Kalau orang dah tak mahu siapa turun dan bagaimana hebat kempen dan propaganda pun tetap akan kalah. Berapa banyak juta yang habis kita tak tahu, PAS tentu tak habis sebanyak itu kut.

Sekarang nampaklah sudah pengundi pasca merdeka dengan pengundi PAS tegar pra merdeka bergabung undi membentuk majoriti melebihi 2 ribu. Nampak sungguh rakyat K. Terengganu tak mahu BN. Tak palah berilah keutamaan kepada mereka yang mahu BN. Kerajaan tak perlu luluskan pemberian royalti kepada Terengganu. Cukup dengan wang ihsan sahaja kerana ianya sampai ke sasaran rakyat juga. Lagi pun kalau PAS ambil Terengganu balik isu ini akan timbul kembali seperti masa era Hj Hadi dulu, gege bangkit soal royalti sampai korek fail lama. Pakat tafsir isi-isi perjanjian lama terutama masa tertubuhnya petronas. Tarik baliklah jangan terperangkap kemudian hari. Teladan Pulau Batu Putih dan New Village di Perak yang memerangkap DS Nizar Jamaluddin, sudah cukup memberikan pengajaran. Datuk Ahmad Said kena hati-hati hal ini. Jangan ghairah dok claim royalti dan merasa bangga jadi juara royalti. Kita bukan apa takut jadi pepatah lama, menang sorak kampung tergadai. Kena ingat tu para pemimpin BN di mana-mana pun bukan di Terenganu saja...............!

Tuesday, January 6, 2009

Di kampung pun terbentuk pulau

Di kampungku yang jauh terpencil tetap terbentuk pulau hasil landaan banjir.Banjir yang berlainan bentuk. Bukan jenis cecair atau saintifiknya bersimbol H2O. Tetapi dari air liur terbentuk kata nesta dan cacian fitnah. Konon bukan dari kumpulan yang berpegang kepada islam. Tidak islam; kafir kut, entahlah tak pernah dengar cakap berdepan pula. Sindir-sindir adalah. Tapi hakikatnya bila balik ada orang cakap; " kami ni dah kena pulau ". Saya jawab; " pulau ke benua"? Kami sesama senasib hanya bergurau begitu saja.

Yang jelas memang ada realiti. Kenduri kendara jelas ada bibit-bibit pulau memulau. Kalau berborak tak lengkap kalau tak ada perli-perli, sindir-sindir. Malah dalam khutbah masjid pun masih terbawa-bawa. Tok imam orang PAS(abang pupu saya) kerap perli/hentam sepupu dia orang UMNO yang juga abang pupu saya. Si UMNO ini saya respek tabik spring dia buat telinga kuali sahaja. Nak kata apapun dia tak kisah tiba hari Jumaat ke masjid itu juga dia solat. Tetapi sekarang kedua saudara pupu saya ini seorang PAS (imam) dan AJK masjid (UMNO) telah jadi arwah. Mereka tak perli memerli lagi. Masa si imam sakit saya ada ziarah kerana ada pertalian darah dan respek sebagai imam dan bekas guru quran saya. Apabila saya maklumkan hal ini kepada si UMNO dia tak boleh pergi ziarah kerana tak berani tentang muka kerana sebelum dari itu (masa sihat) si imam tak mahu layan dan pernah halau dia ( itu dakwa dialah entah betul entah tidak saya tak pasti, lagipun orang dah mati nak confirm tak boleh).

Ok sampai di sini dulu cerita pulau yang bukan terletak di tengah laut. Siri lain menyusul lebih menarik kerana masjid yang dimaksudkan di atas adalah menjadi kariah saya, pelaku di atas dan juga al marhum Ustaz Man Tok Bilal atau Man Libya ( tetapi lebih popular dengan gelaran Ibrahim Libya) Apa hubungan mereka dengan saya ? Sila ikuti siri berikut.......!