Wednesday, December 24, 2008

Antara minyak, scud dan kasut

Kita cakap tentang minyak tentulah fokus utama ke arah Timur Tengah; Kuwait, Arab Saudi, dan Iraq tetapi minyak tidak ada pula di Mesir. Yang terbaru hanya penghasilan cari gali kubur lama firaun yang berusia 4,300 tahun. Entahlah macam mana mereka ukur ribu-ribu punya tahun; usia itu entah nabi mana di bumi anbia, mungkin nabi allah Yusuf kut.

Arab punya cerita memang seribu satu malam tidak habis. Seorang Ustaz Melayu yang berpuluh tahun tinggal di dunia Arab dan tidak boleh lagi bercakap Melayu berkata; "Arab memang pandai bercakap. Kalau bermesyuarat cukup banyak idea dan cadangan tetapi satu pun tak boleh pakai". Bila kami tanya apa pandangannya dengan konflik Arab/Israel, mudah saja jawabnya; " Anta tak usah fikir tentang mereka, hubungan antara anta dengan Arab dan Yahudi amat jauh. Tetapi antara Arab dengan Yahudi umpama sepupu, dekat sangat; jarak negeri pun tak jauh. Kan mereka berdua dari jurai nabi allah Ibrahim alai hissalam.

Seingat saya sudah lama negeri Arab cuba berpakat nak hilangkan peta Israel yang terlalu kecil saiznya. Mesyuarat punya mesyuarat resolusi punya resolusi Israel terus hentam pak arab. Konon nak bersatu guna senjata minyak tetapi masya allah ana punya rugilah kalau USA tak beli dan beku ana punya wang bank dalam. Beli senjata juta-juta dolar pamir masa hari kemerdekaan atau ulang tahun tunjuk ek saja. Bukan boleh guna; kena tanya USA dulu nak tembak ke mana. Nak hala ke Iran bolehlah tetapi Israel; JANGAN.... Nak tembak pun pakarnya dari USA. Arab tak pandai guna pun.

Takdir tuhan. Minyak dan scud tak boleh satukan Arab. KASUT saiz 10, saja yang boleh satukan Arab. Nampaknya sejak Bush dihadiahkan ciuman kasut oleh wartawan Muntazer barulah Arab cuba bersatu. Sana sini tunjuk sokongan pakat kumpul wang dan tawar khidmat guaman sukarela nak bela Muntazer. Uh kasut punya penangan. Teringatlah saya satu kuliah agama; seorang pelacur menggunakan kasutnya mengisi air untuk minuman anjing yang kehausan menjaminkannya jadi ahli syurga. KASUT...............!

Thursday, December 11, 2008

PRU 1969

PRU 1969 banyak membawa kenangan dan pembaharuan dalam politik pasca merdeka. Kesan pertama ialah Peristiwa 13 Mei, Rukun Negara, Dasar Ekonomi Baru, Barisan Nasional dan beberapa perkara lain yang banyak untuk diterjemahkan satu persatu.

Di hari pembuangan undi saya ikut ibu dan ayah dan lihat dari jauh ibu bertugas di pondok panas. Ibu ketika itu Ketua Kaum Ibu UMNO cawangan. Di rumah Ketua cawangan ayah dan beberpa pembantu lain sibuk menyediakan jamuan pagi dan tengah hari. Dia memang pandai masak dan kalau majlis kenduri kawin di rokmo(tempat masak) tempat dia bertugas.

Bagi kawasan kami Perikatan masih memenangi dua kerusi; parlimen dan DUN, Shafie Adullah dan Cik Gu Harun Abdullah masih diterima para pengundi. Cuma peristiwa sedih berlaku lepas PRU ini, ada pergaduhan berlaku di kampung kami bersabit dengan politik. Biasalah PAS dan UMNO. Tidak perlu dijelaskan siapa dari PAS dan UMNO yang terlibat. Cuma ekoran dari peristiwa ini ada membawa kenangan pahit bagi kami dan keluarga mangsa yang terlibat.

Kalau di tempat kami tercetus pergaduhan sama sebangsa tidak hairanlah di tempat lain seperti Kuala Lumpur meletus pergaduhan kaum yang membawa kepada Peristiwa 13 Mei. Itulah politik orang Malaysia dari dulu hingga kini, harap tidaklah selamanya.

Sekian, jumpa lagi dengan cerita-cerita ragam hidup manusia........!

Thursday, December 4, 2008

Belajar Berjalan Selepas Berlari

Rangkai kata ini bukan simpulan bahasa, pepatih petitih atau bombastic word. Perkataan literal, ceritanya begini:-

Tidak ingat bulan berapa tetapi ianya berlaku sekitar tahun 1961. Masa itu saya dalam darjah 2. Tahun itu ibu saya menunaikan fardu haji bersama saudara mara. Ayah bersetuju menjaga saya, sementara abang menziarahi sekali sekala kerana ia telah berkeluarga.

Selepas kembali dari tanah suci emak dan saya jatuh sakit. Saya paling teruk dan menjadi lumpuh kaki. Hanya merangkak kalau hendak makan di dapur. Perubatan ketika itu sekadar cara tradisional, doa/jampi dan ubatan herba.
Kalau tidak silap ayah ada membawa jumpa doktor swasta di Hospital Ladang Badenoch, Kuala Ketil. Mereka ketika itu terlalu negatif ke hospital kerajaan kerana layanan kurang mesra (pelanggan adalah orang kampung yang terlalu kolot) dan terpaksa menunggu terlalu lama untuk menerima rawatan (sekarang pun sama keadaanya).

Semasa sukan tahunan sekolah ayah mendukung saya melihat temasya sukan. Hadiah sagu hati sebagai penonton dan pesakit diberi iaitu sekotak pensil dan buku latihan (kalau tidak silap). Saya terlantar di rumah kurang lebih 3 bulan. Belajar kembali merangkak, berdiri rebah, mengatur langkah berjalan dan setelah kuat baru ke sekolah. Semasa sakit guru besar dan beberapa guru lain datang menziarahi. Terima kasih kerana sudi menziarahi kami orang kampung yang begitu daif dan kolot. Para guru ketika itu amat diterima masyarakat dan apa kata guru masyarakat akan dengar. Hubungan mereka dengan orang kampung begitu baik, musim buah cik gu tidak susah-susah membelinya. Orang kampung akan hantar ke rumah, panggil makan kenduri pulut durian dan sebagainya. Keadaan seperti ini saya tidak pasti masih berlaku atau tidak kerana telah lama meninggalkan kampung halaman menggadai nasib diperantauan.

Setelah sembuh dari sakit barulah ibu membuka mulut. Rupa-rupanya semasa di tanah suci beliau berdoa agar saya sihat dalam jagaan ayah. Kalau nak sakit pun biarlah selepas ia kembali ke tanah air. Itulah betapa barakahnya doa di depan kaabah. Allah akan tunaikan apa yang dipohon. Saya pun turut bersyukur kerana kembali sihat, tidak lumpuh atau cacat. Saya ingat saya demam panas ketika itu, tidak pasti kerana masih terlalu kecil untuk mentafsir penyakit. Lagi pun ayah manalah tahu berapa BP saya dan platelets darah saya ketika itu. Orang kampung yang illiterate katakan..........!

Tuesday, December 2, 2008

PILIHAN RAYA UMUM KE 2 (1964)

Dalam cerita yang lepas saya paparkan bagaimana dan bila saya mulai mengenal politik negara. Saya mula kenal politik semasa PRU 1, sebelum memasuki alam persekolahan dan selepas itu semasa di sekolah kebangsaan, tahun 1964 iaitu semasa dalam darjah 5. Dalam PRU 1 tidak banyak saya saya ingat tetapi dalam PRU 2, momokan kempen telah mula meresap dalam pemikiran saya. Sebagai pelajar sekolah kebangsaan dan tinggal di luar bandar, faktor persekitaran memberikan kesan kepada pemikiran saya.



Suasana kempen semasa itu apa yang saya ingat dimeriahi dengan poster-poster bergantungan terutama sekitar pekan kecil berhampiran sekolah tempat saya belajar. Poster yang paling banyak kelihatan berwarna hijau dengan gambar bulan bintang dan berwarna biru dengan gambar kapal layar. Sahlah dua parti besar menyertai pilihan raya kali ini, antara PAS dan Perikatan. Rupa-rupanya di suatu malam bapa saya turut mendengar ceramah anjuran salah satu parti politik yang turut bertanding dan membawa balik poster yang gambarnya bukan bulan bintang atau kapal layar. Saya tidak berapa ingat gambar poster tersebut, rasanya berwarna merah. Bila memperolehi gambar tersebut saya pun melekatkan pada batang kelapa di depan rumah. Salah seorang jiran kami, Pak Tam nama gelarannya memaklumkan bahawa parti itu wawasannya akan berkonsepkan sama rata. Kalau dapat memerentah negara tidak akan wujud orang kaya atau miskin. Akhirnya fahamlah saya bahawa Barisan Front Sosialis pun turut meletakkan calun pada PRU kali ini di kawasan kami. Apa yang saya ingat orang-orang kampung menamakan parti ini " Parti Kepala Lembu" . Beberapa tokoh tempatan yang saya ingat diberi nama jolokan kepala lembu ialah Hj. Ahmad Kepala Lembu. Siapa itu Hj Ahmad saya pun tidak kenal, budak-budak katakan; amat mentah dalam politik.

Satu peristiwa yang masih dalam ingatan saya dalam PRU 2 ini ialah bermulanya pengaruh kempen dan provokasi politik dalam minda saya sebagai pelajar sekolah kebangsaan. Salah seorang kawan sekolah, anak anggota PAS mendakwa bahawa parti PAS adalah parti Islam. Mesti pilih PAS. Bila balik ke rumah perkara yang sama saya lontarkan kepada abang saya. Beliau ini penyokong UMNO lantaran keluarga sebelah isterinya memang orang kuat UMNO, malah salah seorang wakil rakyat tempat kami mempunyai pertalian keluarga sebelah mertuanya. Maka jawab abang saya sepontan; "UMNO pun Islam juga". Saya pun terkebil-kebil terkeliru yang mana satu betul dengan kenyataan ini. Kawan saya yang betulkah atau abang saya yang betul? Itulah kesannya pengaruh politik dalam minda kanak-kanak yang masih belum pandai menilai antara intan dan kaca. Kawan saya ini sekarang saya kurang pasti pegangan politiknya. Akhir-akhir tahun 1980 an saya dapati ibu bapanya rapat dengan orang kuat UMNO kampung kami. Saya tidak pasti rapat disebabkan atas pegangan politik yang sama atau atas ikatan kekeluargaan. Beliau sekarang menjadi warga Wisma Putra dan berada di luar negara. Saya pun telah lama tidak bersua dengannya,kali terakhir semasa majlis perkahwinannya melebihi dua puluh tahun yang lampau.



Monday, December 1, 2008

Mengenal Alif dan "A "

Zaman saya belum lagi ada tadika atau pra sekolah. Saya memasuki sekolah semasa berumur 7 tahun. Saya disahkan layak memasuki alam persekolahan setelah seorang jiran yang rumah sewanya di seberang sungai (berkongsi pengkalan mandi) mengesahkannya. Beliau ialah seorang guru bujang dan akhirnya menjadi guru kelas saya semasa darjah 1.

Tiba hari memulakan persekolah saya pun disediakan pakaian sekolah dan pada sebelah malamnya ibu menanggalkan tangkal leher yang kononnya penawar cacing supaya tidak jadi bahan ejekan kawan-kawan. Awal-awal lagi saya dan bapa ke sekolah dengan membawa surat beranak untuk di daftarkan. Bila pendaftaran bermula jam 7.00 pagi bapa saya pun menghulurkan surat beranak kepada guru besar yang membuat pendaftaran bersama beberapa guru lain. "Pak Cik ini surat lesen kerbau/lembu" (surat beranak kerbau/lembu); sambil disambut gelak ketawa oleh beberapa orang guru. Yang lucunya bapa tidak kenal yang mana satu surat beranak anaknya dan kerbaunya. Itulah saya katakan sebelum ini kedua orang tua saya adalah "illiterate" pra merdeka. Bagi pembaca yang merasa pelek dengan cerita ini harus faham bahawa kami di Kedah mesti mendaftar lembu/kerbau yang baru beranak bagi tujuan mengelak kecurian atau diseludup ke negara jiran. Kalau tidak silap saya peraturan ini telah pun tidak dipratikkan lagi.

Rumah saya jauh dari sekolah dan rumah-rumah lain. Jiran yang hampir pun cik gu yang mengajar saya di darjah 1, tetapi beliau bujang. Saya tidak ada kawan untuk bermain-main semasa alam kanak-kanak kalau kedua orang tua saya tidak membawa keluar. Rumah yang ada kawan pun terletak hampir 800 meter yang di halangi oleh sawah terbiar, hutan belukar dan tentulah sebagai kanak-kanak takut untuk ke sana. Takut kerana seram atau takut dimarahi kedua orang tua. Saudara kandung untuk menjadi rakan permainan tidak ada kerana jarak antara saya dengan abang adalah 19 tahun dan dia pun telah berkeluarga.

Dek kerana kurang bercampur saya menjadi janggal semasa di darjah 1. Walau bagaimanapun mujur ada 3 saudara pupu sebelah ibu ( salah seorang dari mereka kalau dikira sebelah bapa pangkat anak saudara pupu kerana bapanya sepupu saya tetapi kalau sebelah ibu menjadi saudara dua pupu) jua memasuki darjah 1 . Selain dari itu ada dua rakan kampung berhampiran bernama Satariah dan Zainab. Mereka inilah rakan sekolah semasa darjah 1.

Bapa terpaksa menemani saya selama sebulan di luar sekolah dan kemudian di kedai seberang sekolah bagi menjinakkan saya agar tidak lari. Begitu juga rakan-rakan yang lain terpaksa ditemani baik yang lelaki atau perempuan. Salah seorang kawan sekolah yang kami panggil "Ah "terpaksa ditemani datuknya dan akan menangis kalau datuknya hilang dari pandangan. Datuknya kerap menyorokkan diri bagi mengacah cucu angkatnya. Cucu angkatnya ini kemudian berkahwin dengan Arwah Ibrahim Libya. Rakan saya ini juga ada pertalian keluarga dengan ibu saya. Malah ibunya pernah menjadi anak angkat keluarga saya kerana ibu saya tidak ada anak perempuan tetapi kerana kerap diusik oleh abang saya ibu terpaksa memulangkan dan akhirnya dipelihara oleh datuk yang saya sebutkan tadi.

Kami bersekolah sesi petang. Menggunakan papan batu dengan kalam sebagai pensil. Saya kerap terlupa membawa botol air bagi melupuskan tulisan dan kerap menggunakan air ludah. Cik Gu Marzuki, guru kelas yang menjadi jiran kami itu kerap memarahi saya kerana menggunakan air ludah, saya buat pekak saja. Selain dari Satariah, Zainab dan tiga saudara pupu saya ada lagi beberapa kawan baik seperti Mat Rejab Jusoh,dia hadiahkan saya kertas kuning pembalut buku. Saya balut kad kemajuan hingga diguna pakai sampai darjah 6. Rakan yang lain dan masih saya ingat ialah Jasmi, Yusof, Ghazali (Jali) dan Khalil Che Muda (pesara tentera dan bergiat aktif dalam politik peringkat cawangan dan juga setiusaha JKKK). Kami belajar menggunakan bangku dan meja panjang sebagai tempat duduk. Rakan sebelah saya ialah perempuan, Jamilah namanya. Saya tidak tahu dimana dia sekarang, hidup atau telah meninggal kerana kami terpisah sama ada dia bertukar sekolah atau berhenti saya tidak pasti. Terlalu lama untuk diingati kerana peristiwa ini berlaku pada tahun 1960, tiga tahun lepas merdeka.

Hanya setakat ini pengalaman untuk dikongsi bersama. Kita bersua lagi dengan cerita politik dalam PRU 2 (1964).Jumpa lagi ...........