Sunday, November 30, 2008

Sejarah Politik

Sejarah politik saya bermula tahun 1959 (pilihanraya pertama selepas merdeka). Cuma ingat-ingat lupa, ceritanya bermula semasa ibu atau ayah saya (tidak pasti yang mana satu) membawa balik kertas kempen (juga tidak pasti dari PAS, Perikatan atau SPR). Saya masih lagi buta huruf ketika itu kerana belum memasuki alam persekolahan. Kedua orang tua saya pun demikian juga, dalam kelompok illiterate. Mereka lahir dan membesar dalam persekitaran sawah, pencari damar, rotan, buluh dan getah pun masa itu belum lagi berkembang luas.

Kertas kempen itu yang saya ingat saya conteng dengan pensil. Kalau tidak silap kertas itu berukuran hampir A4 dan berwarna kelabu. Itulah sejarah awal politik saya, saya pun tidak tahu kesudahan proses pembuangan undi. Dan setelah matang (di alam persekolahan) saya pun faham mengundi itu untuk membentuk kerajaan, dan hasil pilihanraya 1959 itu kerusi DUN dan parlimen tersebut semestinya dimenangi oleh Perikatan. Kalau tidak silap kedua wakil rakyat tersebut ialah Cik Gu Harun Abdullah dan sasterawan ASAS 50 Shafie Abdullah. Itulah sejarah pertama politik saya dan akan menyusul perkembangan politik yang telah melalui beberapa proses yang melukiskan pahit manis dalam sebuah negara merdeka.

No comments: