Monday, December 1, 2008

Mengenal Alif dan "A "

Zaman saya belum lagi ada tadika atau pra sekolah. Saya memasuki sekolah semasa berumur 7 tahun. Saya disahkan layak memasuki alam persekolahan setelah seorang jiran yang rumah sewanya di seberang sungai (berkongsi pengkalan mandi) mengesahkannya. Beliau ialah seorang guru bujang dan akhirnya menjadi guru kelas saya semasa darjah 1.

Tiba hari memulakan persekolah saya pun disediakan pakaian sekolah dan pada sebelah malamnya ibu menanggalkan tangkal leher yang kononnya penawar cacing supaya tidak jadi bahan ejekan kawan-kawan. Awal-awal lagi saya dan bapa ke sekolah dengan membawa surat beranak untuk di daftarkan. Bila pendaftaran bermula jam 7.00 pagi bapa saya pun menghulurkan surat beranak kepada guru besar yang membuat pendaftaran bersama beberapa guru lain. "Pak Cik ini surat lesen kerbau/lembu" (surat beranak kerbau/lembu); sambil disambut gelak ketawa oleh beberapa orang guru. Yang lucunya bapa tidak kenal yang mana satu surat beranak anaknya dan kerbaunya. Itulah saya katakan sebelum ini kedua orang tua saya adalah "illiterate" pra merdeka. Bagi pembaca yang merasa pelek dengan cerita ini harus faham bahawa kami di Kedah mesti mendaftar lembu/kerbau yang baru beranak bagi tujuan mengelak kecurian atau diseludup ke negara jiran. Kalau tidak silap saya peraturan ini telah pun tidak dipratikkan lagi.

Rumah saya jauh dari sekolah dan rumah-rumah lain. Jiran yang hampir pun cik gu yang mengajar saya di darjah 1, tetapi beliau bujang. Saya tidak ada kawan untuk bermain-main semasa alam kanak-kanak kalau kedua orang tua saya tidak membawa keluar. Rumah yang ada kawan pun terletak hampir 800 meter yang di halangi oleh sawah terbiar, hutan belukar dan tentulah sebagai kanak-kanak takut untuk ke sana. Takut kerana seram atau takut dimarahi kedua orang tua. Saudara kandung untuk menjadi rakan permainan tidak ada kerana jarak antara saya dengan abang adalah 19 tahun dan dia pun telah berkeluarga.

Dek kerana kurang bercampur saya menjadi janggal semasa di darjah 1. Walau bagaimanapun mujur ada 3 saudara pupu sebelah ibu ( salah seorang dari mereka kalau dikira sebelah bapa pangkat anak saudara pupu kerana bapanya sepupu saya tetapi kalau sebelah ibu menjadi saudara dua pupu) jua memasuki darjah 1 . Selain dari itu ada dua rakan kampung berhampiran bernama Satariah dan Zainab. Mereka inilah rakan sekolah semasa darjah 1.

Bapa terpaksa menemani saya selama sebulan di luar sekolah dan kemudian di kedai seberang sekolah bagi menjinakkan saya agar tidak lari. Begitu juga rakan-rakan yang lain terpaksa ditemani baik yang lelaki atau perempuan. Salah seorang kawan sekolah yang kami panggil "Ah "terpaksa ditemani datuknya dan akan menangis kalau datuknya hilang dari pandangan. Datuknya kerap menyorokkan diri bagi mengacah cucu angkatnya. Cucu angkatnya ini kemudian berkahwin dengan Arwah Ibrahim Libya. Rakan saya ini juga ada pertalian keluarga dengan ibu saya. Malah ibunya pernah menjadi anak angkat keluarga saya kerana ibu saya tidak ada anak perempuan tetapi kerana kerap diusik oleh abang saya ibu terpaksa memulangkan dan akhirnya dipelihara oleh datuk yang saya sebutkan tadi.

Kami bersekolah sesi petang. Menggunakan papan batu dengan kalam sebagai pensil. Saya kerap terlupa membawa botol air bagi melupuskan tulisan dan kerap menggunakan air ludah. Cik Gu Marzuki, guru kelas yang menjadi jiran kami itu kerap memarahi saya kerana menggunakan air ludah, saya buat pekak saja. Selain dari Satariah, Zainab dan tiga saudara pupu saya ada lagi beberapa kawan baik seperti Mat Rejab Jusoh,dia hadiahkan saya kertas kuning pembalut buku. Saya balut kad kemajuan hingga diguna pakai sampai darjah 6. Rakan yang lain dan masih saya ingat ialah Jasmi, Yusof, Ghazali (Jali) dan Khalil Che Muda (pesara tentera dan bergiat aktif dalam politik peringkat cawangan dan juga setiusaha JKKK). Kami belajar menggunakan bangku dan meja panjang sebagai tempat duduk. Rakan sebelah saya ialah perempuan, Jamilah namanya. Saya tidak tahu dimana dia sekarang, hidup atau telah meninggal kerana kami terpisah sama ada dia bertukar sekolah atau berhenti saya tidak pasti. Terlalu lama untuk diingati kerana peristiwa ini berlaku pada tahun 1960, tiga tahun lepas merdeka.

Hanya setakat ini pengalaman untuk dikongsi bersama. Kita bersua lagi dengan cerita politik dalam PRU 2 (1964).Jumpa lagi ...........

1 comment:

bahteramalaya said...

wah panjangnya biografi tue.....best jugak bila mendengar cerita orang lama.....old timers la katakan.....teruskan menulis wahai siong malaya......