Thursday, December 4, 2008

Belajar Berjalan Selepas Berlari

Rangkai kata ini bukan simpulan bahasa, pepatih petitih atau bombastic word. Perkataan literal, ceritanya begini:-

Tidak ingat bulan berapa tetapi ianya berlaku sekitar tahun 1961. Masa itu saya dalam darjah 2. Tahun itu ibu saya menunaikan fardu haji bersama saudara mara. Ayah bersetuju menjaga saya, sementara abang menziarahi sekali sekala kerana ia telah berkeluarga.

Selepas kembali dari tanah suci emak dan saya jatuh sakit. Saya paling teruk dan menjadi lumpuh kaki. Hanya merangkak kalau hendak makan di dapur. Perubatan ketika itu sekadar cara tradisional, doa/jampi dan ubatan herba.
Kalau tidak silap ayah ada membawa jumpa doktor swasta di Hospital Ladang Badenoch, Kuala Ketil. Mereka ketika itu terlalu negatif ke hospital kerajaan kerana layanan kurang mesra (pelanggan adalah orang kampung yang terlalu kolot) dan terpaksa menunggu terlalu lama untuk menerima rawatan (sekarang pun sama keadaanya).

Semasa sukan tahunan sekolah ayah mendukung saya melihat temasya sukan. Hadiah sagu hati sebagai penonton dan pesakit diberi iaitu sekotak pensil dan buku latihan (kalau tidak silap). Saya terlantar di rumah kurang lebih 3 bulan. Belajar kembali merangkak, berdiri rebah, mengatur langkah berjalan dan setelah kuat baru ke sekolah. Semasa sakit guru besar dan beberapa guru lain datang menziarahi. Terima kasih kerana sudi menziarahi kami orang kampung yang begitu daif dan kolot. Para guru ketika itu amat diterima masyarakat dan apa kata guru masyarakat akan dengar. Hubungan mereka dengan orang kampung begitu baik, musim buah cik gu tidak susah-susah membelinya. Orang kampung akan hantar ke rumah, panggil makan kenduri pulut durian dan sebagainya. Keadaan seperti ini saya tidak pasti masih berlaku atau tidak kerana telah lama meninggalkan kampung halaman menggadai nasib diperantauan.

Setelah sembuh dari sakit barulah ibu membuka mulut. Rupa-rupanya semasa di tanah suci beliau berdoa agar saya sihat dalam jagaan ayah. Kalau nak sakit pun biarlah selepas ia kembali ke tanah air. Itulah betapa barakahnya doa di depan kaabah. Allah akan tunaikan apa yang dipohon. Saya pun turut bersyukur kerana kembali sihat, tidak lumpuh atau cacat. Saya ingat saya demam panas ketika itu, tidak pasti kerana masih terlalu kecil untuk mentafsir penyakit. Lagi pun ayah manalah tahu berapa BP saya dan platelets darah saya ketika itu. Orang kampung yang illiterate katakan..........!

1 comment:

Gerrard said...

waaa.... tu sebabnya kite perlu menghormati parents kita.. terharu saye..