Tuesday, December 2, 2008

PILIHAN RAYA UMUM KE 2 (1964)

Dalam cerita yang lepas saya paparkan bagaimana dan bila saya mulai mengenal politik negara. Saya mula kenal politik semasa PRU 1, sebelum memasuki alam persekolahan dan selepas itu semasa di sekolah kebangsaan, tahun 1964 iaitu semasa dalam darjah 5. Dalam PRU 1 tidak banyak saya saya ingat tetapi dalam PRU 2, momokan kempen telah mula meresap dalam pemikiran saya. Sebagai pelajar sekolah kebangsaan dan tinggal di luar bandar, faktor persekitaran memberikan kesan kepada pemikiran saya.



Suasana kempen semasa itu apa yang saya ingat dimeriahi dengan poster-poster bergantungan terutama sekitar pekan kecil berhampiran sekolah tempat saya belajar. Poster yang paling banyak kelihatan berwarna hijau dengan gambar bulan bintang dan berwarna biru dengan gambar kapal layar. Sahlah dua parti besar menyertai pilihan raya kali ini, antara PAS dan Perikatan. Rupa-rupanya di suatu malam bapa saya turut mendengar ceramah anjuran salah satu parti politik yang turut bertanding dan membawa balik poster yang gambarnya bukan bulan bintang atau kapal layar. Saya tidak berapa ingat gambar poster tersebut, rasanya berwarna merah. Bila memperolehi gambar tersebut saya pun melekatkan pada batang kelapa di depan rumah. Salah seorang jiran kami, Pak Tam nama gelarannya memaklumkan bahawa parti itu wawasannya akan berkonsepkan sama rata. Kalau dapat memerentah negara tidak akan wujud orang kaya atau miskin. Akhirnya fahamlah saya bahawa Barisan Front Sosialis pun turut meletakkan calun pada PRU kali ini di kawasan kami. Apa yang saya ingat orang-orang kampung menamakan parti ini " Parti Kepala Lembu" . Beberapa tokoh tempatan yang saya ingat diberi nama jolokan kepala lembu ialah Hj. Ahmad Kepala Lembu. Siapa itu Hj Ahmad saya pun tidak kenal, budak-budak katakan; amat mentah dalam politik.

Satu peristiwa yang masih dalam ingatan saya dalam PRU 2 ini ialah bermulanya pengaruh kempen dan provokasi politik dalam minda saya sebagai pelajar sekolah kebangsaan. Salah seorang kawan sekolah, anak anggota PAS mendakwa bahawa parti PAS adalah parti Islam. Mesti pilih PAS. Bila balik ke rumah perkara yang sama saya lontarkan kepada abang saya. Beliau ini penyokong UMNO lantaran keluarga sebelah isterinya memang orang kuat UMNO, malah salah seorang wakil rakyat tempat kami mempunyai pertalian keluarga sebelah mertuanya. Maka jawab abang saya sepontan; "UMNO pun Islam juga". Saya pun terkebil-kebil terkeliru yang mana satu betul dengan kenyataan ini. Kawan saya yang betulkah atau abang saya yang betul? Itulah kesannya pengaruh politik dalam minda kanak-kanak yang masih belum pandai menilai antara intan dan kaca. Kawan saya ini sekarang saya kurang pasti pegangan politiknya. Akhir-akhir tahun 1980 an saya dapati ibu bapanya rapat dengan orang kuat UMNO kampung kami. Saya tidak pasti rapat disebabkan atas pegangan politik yang sama atau atas ikatan kekeluargaan. Beliau sekarang menjadi warga Wisma Putra dan berada di luar negara. Saya pun telah lama tidak bersua dengannya,kali terakhir semasa majlis perkahwinannya melebihi dua puluh tahun yang lampau.



1 comment:

bahteramalaya said...

Pada masa sekarang pula Budak Yang Belum Habis belajar pulak yang terasa dimomok-momokan oleh ISA.....kononya......Belajarpun kerajaan yang bagi Modal tue pun nak cakap Sombong.......belum esok lusa lagi tu.......Silap2 haribulan Buat periuk Nasi dalam Kerajaan.........

APA PANDANGAN EN.SIONG MALAYA...?..